SEKONGKOL POLITIK DAP DAN MAHATHIR : SARAWAK TIDAK LUAK
1. Saya sebenarnya tidak pernah berminat untuk membaca apatah lagi membalas coretan politik Aziz Isa dan Dr Kelvin Yii yang saya anggap selama ini hampas dan tidak memberi apa apa kesan kepada pencapaian cemerlang politik PBB di Sarawak. Namun kenyataan berani YB Dato Sri Wan Junaidi baru-baru ini mengenai idola DAP iaitu Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyebabkan kedua dua Pembantu Politik YB Chong Chieng Jen meroyan tahap gaban dalam FB dan kenyataan di media sosial mereka. Atas dasar kasihan kepada kedua mereka yg jelas telah menunjukkan tahap pengetahuan politik yang amat terbatas dan cetek , maka saya terpanggil untuk menjernihkan kekusutan dan kecelaruan minda mereka.
2. Apa yang dimaksudkan oleh Dato Sri Wan Junaidi bahawa beliau berdiam diri selama 20 tahun adalah berdiam diri dari bercerita mengenai kejadian Datuk Seri Anwar Ibrahim membaling fail kepada beliau sewaktu dalam satu sesi perbincangan 20 tahun yang lepas di Putrajaya dimana Dato Sri Wan Junaidi memohon agar peruntukan MRP setiap Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak ditambah kepada RM 500 ribu seorang. Namun Dato Sri Anwar Ibrahim terus berdiri dan membaling fail ke arah Datuk Sri Wan Junaidi dan berkata ‘ Saya tidak boleh membuang semua duit ke Sabah dan Sarawak ‘. Celarunya otak Aziz dan Dr Kelvin adalah mereka hanya fokus kepada bahagian cerita diamnya Dato Sri Wan Junaidi dari bercerita tentang kisah ini tetapi tidak melihat kepada keseluruhan cerita bahawa Dato Sri Wan Junaidi yang bersuara untuk kepentingan dan keperluan Sabah Sarawak . Aziz dan Dr Kelvin juga secara sengaja tidak melihat bahagian angkuhnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak rintihan rakyat yang dibawa oleh Dato Sri Wan Junaidi. Budak Tadika Permata pun boleh faham rentetan cerita ini yang menggambarkan usaha Dato Wan Junaidi yang telah bertindak dan berjuang untuk kepentingan rakyat Sarawak manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah watak antagonis dalam cerita ini. Namun Dato Sri Wan Junaidi atas dasar semangat setiakawan BN tidak menceritakan mengenai insiden ini. Beliu juga percaya kepada perjuangan BN dan tetap terus berusaha sehingga akhirnya sewaktu Pak Lah dan Dato Sri Najib menjadi PM, maka barulah peruntukan pembangunan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak telah ditambah dan diganda seperti yang dipinta.
3. Saya jadi lucu melihat celoteh politik Aziz dan Dr Kelvin yang berulang ulang kali bertanya apa jasa Dato Sri Wan Junaidi kepada Sarawak. Lucu yang hampir membuat saya muntah hijau. Saya selaku pembantu dan Setiausaha Politik kepada Dato Sri Wan Junaidi sejak tahun 2005 sehingga kini amat mengetahui apa yang telah diusahakan oleh beliau untuk rakyat Sarawak. Kepada Aziz dan Dr Kelvin,sila rujuk buku tulisan Dato Sri Wan Junaidi bertajuk ‘A Policeman ‘ , sebelum anda lahir lagi iaitu pada tahun 1969 sehingga 1973 , Wan Junaidi sudah berperang di dalam hutan berhadapan dan menentang komunis. Beliau sewaktu itu berumur 22 tahun dan berpangkat Inspektor dalam Pasukan Polis Hutan telah mengetuai satu platun dan bertempur secara berhadapan dengan komunis dalam 5 operasi.
Beliau telah melihat sendiri bagaimana anak buah platun nya hancur kepala, terkeluar otak dan terburai perut sewaktu bertempur dengan komunis bahkan pernah sekali peluru komunis tersasar betul-betul di atas kepala beliau dan kini, Aziz Isa serta Dr Kalvin bertanya apakah jasa Dato Sri Wan Junaidi ? Aziz, sebesar manakah jasa yang telah anda pula taburkan untuk Sarawak sehingga anda layak untuk mempersoalkan apakah jasa Wan Juanidi kepada Sarawak????
4. Bagaimana mungkin Aziz dan Dr Kelvin boleh mengatakan Dato Sri Wan Junaidi berdiam diri selama 20 tahun sedangkan Wan Junaidi adalah antara Ahli Parlimen BN yang paling lantang dan keras bersuara di Parlimen Malaysia sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Yang Berhormat. Sila lah rujuk handsard Parlimen Malaysia anda pasti akan menemui Wan Junaidi dalam rekod hansard yang mana di dalam hampir setiap sidang parlimen beliau akan bercakap membawa isu-isu dari Sarawak. Oleh kerana terlalu lantang itulah maka Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyenarai hitam nama Wan Junaidi untuk mewakili Malaysia ke luar Negara selama 6 tahun sehinggalah Pak Lah menjadi Timbalan Perdana Menteri.
5. Wan Junaidi jugalah Ahli Parlimen yang pertama yang menyuarakan dan mencadangkan kepada Parlimen dan Kerajaan Malaysia untuk penubuhan kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sewaktu sidang Parlimen pada tahun 1991 walaupun beliau telah mendapat amaran dari Anwar Ibrahim selaku TPM masa itu agar tidak membangkitkan isu ini. Wan Junaidi telah berulang ulang kali menbawa usul ini dengan nada yang keras dan turut dibantu oleh Ahli Ahli Parlimen BN Sarawak yang lain sehingga majalah Perempuan pada masa itu telah membuat liputan utama dalam majalah mereka dengan tajuk “ Wan Junaidi MP Batang Lupar Seganas Bujang Senang” sehingga akhirnya UNIMAS ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1992. Layakkah Aziz Isa graduan dari UNIMAS mempersoalkan jasa-jasa perjuangan Dato Sri Wan Junaidi? Aziz Isa sebaliknya harus berterima kasih kepada Dato Sri Wan Junaidi…. Aziz Isa harus bertaubat.
6. Sewaktu dialog semua Ahli Yang Berhormat BN dari Sarawak bersama dengan Dato Sri Najib di Bangunan PWTC pada tahun 2012 , Dato Sri Wan Junaidi telah menyatakan kepada Dato Sri Najib mengenai keperluan pembinaan hospital baharu Sarawak dan dalam majlis itu Dato Sri Wan Junaidi telah menyerahkan surat rasmi mengenai cadangan dan permohonan beliau itu. Pada akhir 2012 , Setiausaha Sulit PM iaitu Dato Amir Haron telah menghubungi saya dan memaklumkan bahawa Dato Sri Najib Razak bersetuju untuk meluluskan RM 650 juta untuk pembinaan hospital baharu Sarawak seperti yang dipohon oleh Dato Sri Wan Junaidi. Walaupun projek hospital tersebut yang sekarang ini dinamakan sebagai Hospital Umum Petra Jaya terlewat dari jadual siap namun saya percaya projek ini akan siap jua nanti. Bila Aziz Isa dan Dr Kelvin datang membawa emak dan bapa mereka ke hospital itu nanti maka berterima kasihlah juga kepada Dato Sri Wan Junaidi.
7. Sebenarnya sepanjang pengalaman saya bekerja dengan Dato Sri Wan Junaidi, amat banyak peruntukan dan projek-projek pembangunan rakyat yang telah diluluskan oleh Dato Sri Najib hasil permohonan langsung Dato Sri Wan Junaidi kepada Dato Sri Najib termasuklah kelulusan RM 25 juta untuk membina SK Matu Baru bagi kemudahan pusat pendidikan anak-anak penduduk kampung Bintawa ( telah siap 2013 ), RM 60 juta untuk menyiapkan sekolah SMK Seni Kuching ( telah siap 2015 ), RM 20 juta untuk pembinaan tempat-tempat ibadah di Parlimen Santubong termasuklah masjid, gereja dan dewan masyarakat India, RM 125 juta untuk pembinaan jalan 2 hala Kampung Tanjung Bako ( siap pada 2015), RM 10 juta untuk membina jalan premix menggantikan titi kayu di Kampung Bintawa, RM 45 juta untuk jalan Bradek Semilang, RM 120 juta untuk projek sistem bekalan air Daerah Lundu, RM 300 juta untuk Projek Rancangan Tebatan Banjir Bandar Kuching dan seluruh Sarawak dan banyak lagi projek-projek yang langsung tidak dipedulikan oleh Tun Mahathir dulu tapi telah diluluskan dibawah pentadbiran Dato Sri Najib sebagai Perdana Menteri.
8. Tak perlulah saya nak jelaskan kepada Aziz Isa sumbangan Dato Sri Wan Junaidi di kawasan Parlimen Santubong. Peningkatan undi majoriti Dato Sri Wan Junaidi antara majoriti yang tertinggi dalam pilihanraya PRU 13 yang lepas sudah cukup menunjukkan perjuangan dan kerja-kerja pembangunan yang dilakukan oleh Wan Junaidi adalah diterima dan diktiraf oleh penduduk Parlimen Santubong sehingga kedua-dua calon pembangkang yang melawan Dato Sri Wan Junaidi telah hilang wang cengkeram. Aziz Isa harus menerima fakta bahawa Dato Sri Wan Junaidi is the darling of Parlimen Santubong.
9. Namun bukan budaya kerja BN untuk mengaku sebagai one man show. Sebab itulah , walaupun banyak sumbangan yang dibuat, namun Dato Sri Wan Junaidi tidak pernah mendabik dada berkata itu hasil kerja beliau seorang kerana beliau percaya kepada kejayaan pencapaian beliau adalah hasil kerja berkumpulan dari peringkat tertinggi BN Nasional dan Negeri sehinggalah ke pekerja parti. Semangat keutuhan setiakawan Barisan Nasional inilah yang memberi keyakinan kepada beliau bahawa sekongkol politik Tun Mahathir bersama dengan DAP Sarawak tidak akan memberi luak kepada BN Sarawak. Kalau 2013 kita dapat melihat gelombang crowd yg lebih besar di pentas politik Pakatan Rakyat di Sarawak namun akhirnya hampir semua calon BN Sarawak mendapat undi majoriti yang meningkat dan tinggi termasuklah Wan Junaidi, Fadillah Yusof, James Dawos,Nancy Shukri, Rohani Karim , Ahmad Lai, Wahab Dolah dan Norah Abdul Rahman dan lain lain.
DATO SRI SYED HAMZAH SYED PAIE
Setiausaha Politik
Kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
28 September 2017
Like this:
Like Loading...